Kami mahu membantu
Hubungi Segera!
Saturday, March 20, 2010
Kenapa perlu melabur di Unit Amanah
Pendahuluan
Sedikit pengenalan buat semua, "Unit Trust" atau unit amanah adalah satu instumen dimana kita menyimpan duit bagi tujuan tertentu; seperti contoh untuk mengandakan nilai sedia ada, mengurangkan kadar kenaikan inflasi dan keselamatan nilai wang.
Secara ringkasnya, unit amanah adalah satu bentuk saham pelaburan dimana ia dikawal dan diuruskan oleh pengurus dana yang berpengalaman dan para pelabur (kita) melabur/membeli unit saham tersebut.
Tiga faktor utama dalam menentukan kejayaan anda dalam "permainan" unit amanah.
Pertama adalah faktor masa atau berapa lama kita melabur. Purata diantara 3 - 5 tahun adalah jangka masa yang sangat ideal bagi sesuatu pembelian unit saham untuk menampakkan hasilnya kerana pelaburan ini adalah berkala jangka masa panjang.
Kedua adalah faktor "switching" atau tukar dana. Ini dilakukan bila perlu sahaja. Sebagai contoh apabila unit anda sekarang telah menghasilkan untuk lebih dari 20% dengan keuntungan tertentu. Spekulasi mengatakan bahawa tahun ini bakal berlaku kegawatan yang teruk dengan petunjuk yang jelas seperti penurunan kadar pengeluaran kasar dalam negara (KDNK), kelembapan import export dan sebagainya.
Ini merupakan petunjuk bahawa ekonomi mengalami kelembapan dan kemungkinan berlakunya krisis-krisi besar. Saham dipasaran juga akan terjejas; oleh itu salah satu cara bagi mengelakan unit saham kita yang telah menghasilkan keuntungan dari kerugian kita boleh mengalihkan semua saham tersebut kepada dana bond atau "money market" dimana ia kurang terjejas.
Ketiga adalah DCA (Dollar Cost Averaging). Ini sangat penting dalam unit amanah dimana kita disarankan untuk sentiasa membuat penambahan unit atau istilah mudah "topup" dimana kita membeli unit saham pada kadar masa yang kerap sebagai contoh kita membuat potongan/simpanan tetap untuk setiap bulan dimana kita memasukkan RM100/bulan. Kita akan membuat pembelian unit saham pada kadar yang sama.
Unit amanah adalah menguntungkan dari ASB, KWSP dan simpanan tetap diBank kerana kadar keuntungan yang diberi adalah sekitar 10 - 15% setahun dan boleh mencecah 40% setahun berdasarkan rekod lepas di Public Mutual.
--------------------------------------------------------------------------------------------
Kenapa perlu melabur ni ye??
Perkahwinan:
Kos yg perlu ditampung amatlah tinggi dan ianya menjadi lebih tinggi jika anda berkahwin dgn selebriti atau org yg berada..
Dan juga harga makanan yg semakin meningkat dari tahun ke tahun...
Mungkin anda kata 'alah nak kahwin buat ringkas2 sudah!' tetapi kita rakyat malaysia mempunyai budaya masing2 yg perlu di patuhi... bagi diri sendiri mungkin tak kisah tapi apa kata org2 tua kita? saudara mara?
Pendidikan:
Mengikut kajian, kos pendidikan meningkat 6% setiap tahun terutama pendidikan peringkat tinggi.. Mungkin anda kata "takpe, biarkanlah anak saya belajar berdikari. pinjaman pelajaran kan byk'. sebagai ibu bapa, takkan lah kita tak mahu menolong anak sendiri.
Takkan nak biarkan mereka berhutang sedangkan mereka baru je nak mulakan kehidupan.. kalau dapt ipta mungkin ringan sikit, tapi kalo tak dpt? kos lebih tinggi di kolej swasta... Senario sebenar: anak2 ada pinjaman pelajaran, tapi tiap minggu atau bulan still minta parents duit poket... Kalau kita bertindak sekarang, kos utk melabur utk anak2 adalah lebih rendah jika kita tak buat apa2 dan pinjaman pun ada interest!!!
Persaraan:
Kos pada peringkat ini adalah mustahak. persoalan yg perlu ditanya, adakah saya dpt meneruskan gaya kehidupan sekarang apabila bersara? Adakah anak2 masih bergantung pada saya? adakah simpanan saya sekarang mampu menampung kos perubatan nanti? Kos utk melancong? Hobi? Sebenarnya banyak persoalan yg perlu ditanya dan yg paling penting sekali adalah kadar inflasi sekarang dan kadar semasa bersara...
Mungkin ada kata 'KWSP ada, cukuplah. pencen ada' Tapi sedarlah bahawa nilai tersebut tidak cukup, dan mengikut kajian kebykan rakyat m'sia menghabiskan wang kwsp mereka dlm masa tiga tahun sahaja.. Takkan lepas tiga tahun tu anda nak jual nasi lemak, jadi jaga?
Jadi bertindaklah sekarang dengan menyimpan wang anda di tempat dimana pulangan yg diberikan mampu mengatasi kadar inflasi terutamanya dan kenaikan kos yg lain2
...................................................
Thursday, March 11, 2010
Ujian kehidupan bagi manusia
Jiwa seorang mukmin itu pastinya ditarbiyyah untuk berhadapan dengan pelbagai ujian dan kesukaran. Ada kalanya ujian yang menimpa berbentuk kesenangan – kemewahan hidup, kejayaan dan sebagainya.
Kesenangan seperti ini walau dilihat bukanlah sesukar ujian kepayahan dan keperitan hidup, namun hakikat ujian ini tidak kurang cabarannya. Seseorang yang diuji dengan kemewahan hidup, memiliki harta yang melimpah ruah dan kekayaan yang berganda tentu sahaja perlu memikirkan bagaimana dan ke mana perlu disalurkan wang dan harta yang dimiliki. Adakah untuk kegunaan sendiri dan keluarga semata-mata atau terfikirkah untuk menginfakkan ke jalan Allah?
Kesukaran dan kepayahan dalam hidup juga sebahagian dari ujian. Walau nyata berbeza sebagaimana ujian berbentuk kesenangan, realitinya ini adalah ujian, yang akan menguji tahap keimanan seorang hamba. Perjalanan hidup bagi seorang manusia lazimnya akan melalui berbagai cabaran dan dugaan. Untuk meneruskan kehidupan sebagai seorang insan, memerlukan perjuangan yang berterusan tanpa noktah. Hatta untuk mendapatkan sesuap nasi bagi mengalas perut sekalipun, memerlukan perjuangan, berkorban tenaga dan masa. Itulah perjuangan yang menuntut infiniti pengorbanan.
Firman Allah :
"(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." (Al-Baqarah : 156)
Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu, dan Dialah yang berkehendak untuk melakukan apa jua perkara ke atas makhluk ciptaanNya. Manakala hamba yang diciptakan ini perlu menghadapi segala yang telah diaturkan dengan sempurna oleh Maha Pencipta dengan cara yang termampu olehnya.
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?" (al-Ankabut : 2)
Mukmin itu tidak cukup hanya dengan ungkapan beriman dan mengaku sebagai Islam sahaja, tanpa memenuhi tuntutan sabar dan tabah hati mengharungi ujian, sama ada ujian berupa perintah – melaksanakan kewajipan dan perintah, mahupun ujian berupa larangan yang perlu dijauhi. Begitu juga ujian kesusahan dan kemalangan yang menimpa diri. Di sinilah ukuran keimanan yang sebenar bagi seorang mukmin.
"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)" (al-Mulk : 2)
Kehidupan merupakan satu medan ujian bagi hamba yang beriman, sehinggalah saat dan tikanya lambaian kematian menjelma. Kematian juga adalah sebahagian dari ujian setelah melalui detik perjalanan sebuah kehidupan yang telah ditetapkan. Kematian inilah saat yang tak mungkin dimungkiri dan dihindari walau seorang menteri, pegawai tinggi, hinggalah rakyat biasa.
"Di mana sahaja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu. Kendatipun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan jika mereka memperoleh kebaikan, mereka mengatakan : "Ini adalah dari sisi Allah", dan sekiranya mereka ditimpa sesuatu bencana, maka mereka berkata : "Ini datangnya dari sisi kamu (Muhammad)." Katakanlah : "Semuanya datang dari Allah." Maka mengapa orang-orang yang hampir tidak memahami nasihat sedikitpun?" (Al-Nisa’ : 78)
Apakah dikira segala hutang yang masih belum dilangsai, persengketaan yang belum lagi terlerai, janji yang tak tertunai, cita-cita yang masih tak tercapai, kejayaan yang belum sempat digapai mampu menangguhkan saat dan ketentuan ajal yang datang? Tidak kira sesiapapun, maut tetap datang menjemput. Sama ada ahli keluarga yang tercinta, sahabat handai yang dikasihi, guru-guru yang dihormati, rakan-rakan seuniversiti, dekat mahupun jauh, ataukah diri kita sendiri yang masih terkapai dalam pencarian ini, andai telah ditentukan saatnya, akan pergi jua akhirnya meninggalkan dunia yang fana, bukan untuk seminit dua, bahkan untuk selama-lamanya. Waktu yang tak mungkin dapat diundur, lalu tinggallah segala kegembiraan yang pernah dikecapi, abadilah segala kenangan bersama, detik suka mahupun duka akan berputar kembali memenuhi ruang fikiran teman-teman yang ditinggalkan.
Saat ini disedari betapa tinggi dan bernilainya sebuah uhkuwwah dan persahabatan yang terbina. Tika ini jualah mengerti dan menghargai seorang insan yang takkan dapat lagi hidup bersama di dunia. Seterusnya, penyesalan demi penyesalan yang tidak punyai makna apa-apa…
Saidatina ‘Aisyah berkata : Rasulullah s.a.w pernah bersabda: "Sesiapa yang suka bertemu Allah, nescaya Allah juga suka bertemu dengannya. Begitu juga sesiapa yang tidak suka bertemu Allah, nescaya Allah juga tidak suka bertemu dengannya. Aku bertanya: Wahai Nabi Allah! Apakah kita perlu membenci mati? Di mana kami semua membenci mati. Baginda bersabda: Bukan begitu. Seseorang mukmin apabila diberitahu berita gembira dengan rahmat Allah, keredaan-Nya dan Syurga-Nya nescaya dia pasti suka untuk bertemu Allah dan Allah juga suka bertemu dengannya. Sedangkan orang kafir apabila diberitahu adanya seksa serta murka Allah, dia tidak akan suka bertemu Allah dan Allah juga tidak suka bertemu dengannya." (Sohih Muslim, bab Do’a, Taubat & Istighfar, 4845)
Cukuplah mati sebagai peringatan buat diri seorang mukmin. Padanya tiada yang lebih berharga di dunia, keluarga, pangkat, mahupun harta melainkan keredhaan dariNya, dan pengharapan agar dapat dipertemukan dengan Yang Maha Pencipta, pemilik segala hati manusia. Apabila mati menjadi peringatan, terlerailah segala persengketaan, bersemilah ukhuwwah dan terbinalah persaudaraan, tertunailah segala janji yang dipatri, terlaksanalah tanggungjawab dan amanah Allah, kan terlangsailah jua hutang yang terkumpul.
Peringatan buat diri yang sentiasa alpa, leka dengan nikmat dunia yang bersifat sementara, agar memperteguhkan iman dan ilmu, memperbanyakkan amal sebagai bekal, menuju ke satu destinasi yang pasti dan abadi. Bangkit dari lena, teruslah bermujahadah, thabatkan diri dalam perjuangan yang suci ini, walau diri lemah dan tidak berdaya, walau diri tidak punya apa-apa, tetapi tenanglah duhai hati seorang mukmin, yakinlah dengan janji Ilahi, kesabaran menghadapi ujian membuahkan hasil yang tidak akan mengecewakan……!
"Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?" (Ali ‘Imran : 142)
"Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh) dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengasihi o
rang-orang yang sabar." (Ali ‘Imran : 146)
Oleh : Umm Habiba
- Posted using BlogPress from my iPhone
Friday, March 5, 2010
Permasalahan Takdir Allah yang Menimpa Kita (Duka & Kesedihan Serta Jalan Penyelesaian)
Perihal takdir Allah swt termasuk dalam hal yang disebut sebagai tauqifiyah (diberhentikan perbicaraan mengenainya hanya sekadar pada dalil yang sampai dari kitab dan sunnah).
“ Maka sembahlah Dia (Allah) dan bertawakallah kepada-Nya dan sesungguhnya tidaklah tuhan-Mu lalai dari apa yang kamu lakukan” (Hud : 123).
Nabi salallahualaihiwasalam pernah berdoa dengan menyebut : "Dan Aku mohon berikanlah aku menjadi redha kepada Qadar" (hadith sahih diriwayatkan oleh Nasaie dan Hakim dan disepakati oleh Adz-Zahabi).
Juga baginda bersabda lagi : " Sesungguhnya telah hancur golongan sebelum kamu kerana berselisihnya mereka dengan para nabi mereka dan tidaklah sekali-kali beriman seorang di antara kamu selagi dia tidak beriman dengan qadar kesemuanya sama ada yang baik atau yang buruk" (Hadith hasan lihat dalam Kitab Sunnah oleh Ibn Abi Asim).
Bagaimanakah berlakunya takdir itu ?
Disebut dalam hadith yang sahih bahawa takdir itu yang berlaku ke atas hamba-hamba Allah yang ditetapkan oleh Allah menjadikan segala sesuatu itu terjadi takdir yang berlaku secara sudah tertulis sejak awal.
Adapun begitu amal dan perbuatan tetap menjadi kiraan kerana sesuatu takdir itu menimpa di atas amal yang dilakukan dan amal itu berlaku berasaskan takdir yang telah ditentukan.
Hadith Umar ra yang bertanya nabi tentang amal dengan mengatakan : " Apakah pandanganmu tentang amalan (manusia) yang dilakukan apakah ianya sudah ditetapkan sebelumnya atau baru berlaku ? Maka dijawab oleh baginda dengan bersabda : "Sesungguhnya telah pun ditetapkan segala sesuatu pada setiap perkara" maka di balas oleh Umar : "Apakah kita harus menyerah sahaja kalau demikian ? Maka bersabdalah baginda nabi : "Beramallah wahai anak Khattab, segala sesuatu itu sudah dipermudahkan adapun barangsiapa yang tergolong dari ahli kebaikan (syurga) maka dia dijadikan beramal dengan amalan ahli syurga dan barangsiapa yang tergolong dalam ahli siksa maka dijadikan dia beramal jahat untuk neraka " (Hadith sahih, riwayat Ahmad 29 Jilid 1).
Demikianlah juga kisah yang berlaku dalam Bukhari dan Muslim mengenai protes Musa as kepada Adam as dan lain-lain riwayat yang menunjukkan kita bahawa amal dan takdir itu saling berkaitan.
Seseorang itu mendapat takdir yang menimpanya ialah berdasarkan perbuatannya dan perbuatannya itu sudah pun ditakdirkan oleh Allah swt akan apa yang akan dilakukan dan dia sendiri tidak menyedarinya.
Kita (lelaki) misalnya akibat kebodohan kita, keegoan dan pelbagai lagi kesilapan yang dilakukan akhirnya menyebabkan kita kehilangan perempuan yang kita kasihi dan sesungguhnya perbuatan kita itu menjadi sebab berlakunya takdir (perpisahan) yang menyedihkan tetapi perbuatan kita (melukakan hati perempuan yang dikasihi dan lain-lain kesilapan) juga sebenarnya merupakan sesuatu yang sudah ditakdirkan.
“Dikalangan mereka (manusia) ada yang celaka dan ada yang bahagia” (Hud : 105).
Kerana itu Orang yang beriman dan berilmu mengetahui dan beriman dengan segala takdir Allah swt baik yang suka atau yang pahit. Mereka mengerti kesilapan yang dilakukan itu adalah kerana ditakdirkan dan akhirnya membawa satu takdir yang wajib diimani.
Nabi salallahualaihiwasalam bersabda : "Adapun ahli syurga dipermudahkan supaya mereka dapat beramal dengan amalan ahli-ahli syurga dan ahli neraka dipermudahkan supaya mereka beramal dengan amalan-amalan ahli neraka" (Hadith sahih dengan ijal yang siqah dikeluarkan oleh Al-A'jari ).
Lalu mereka (orang yang beriman) segera bertaubat memohon kepada Allah swt supaya dipilih untuk termasuk dalam kalangan yang dipermudahkan kepada amalan kebaikan dan dipilih supaya termasuk di kalangan mereka yang diredhai lalu dipermudahkan untuk melakukan amalan-amalan soleh yang membawa kepada takdir yang baik dan diredhai.
Seperti yang terdapat dalam hadith dari riwayat Anas bin Malik ra yang berkata bahawa baginda rasulullah salallahualaihiwasalam kerap membaca doa : “Wahai tuhan yang membolak-balikkan hati tetapkanlah hati kami dalam agama-Mu” maka para sahabat pun bertanya apakah hati itu boleh dibolak-balik ? Maka baginda pun menjawab : “ Ya, Sesungguhnya hati-hati itu berada di antara jari-jari Allah dan Dia (Allah) membolak-balikkannya sebagaimana yang dikehendaki-Nya” (Hadith Sahih, riwayat Tirmidzi no. 2140 dan Ibn Majah no.3834).
Bagaimana Mahu Menghadapi Takdir Allah yang Pedih dan Sedih dan Cara mendapat takdir yang baik dan menghindari dari Takdir yang Buruk ?
Melalui penjelasan ringkas sebelum ini sudah memberi kesedaran dan pemahaman bahawa takdir itu sudah ditetapkan oleh Allah swt sejak dalam perut ibu lagi kepada hamba-hamba-Nya ini seperti yang disebut dalam hadith dari riwayat Ibn Mas’ud ra yang menyebut rasulullah bersabda :
“Sesungguhnya setiap dari kamu yang mula terbentuk jasadnya dalam perut ibunya selama 40 hari maka kemudian akan menjadi segumpal darah dan kemudian menjadi pula ketulan daging lalu Allah mengutuskan padanya malaikat untuk meniupkan pada jasad itu akan ruh dan menulis empat perkara : iaitu rezekinya, ajalnya, amalannya dan pengakhirannya apakah bahagia atau celaka dan demi zat yang tiada yang berhak disembah selain-Nya sesungguhnya sekiranya sekalipun ada di kalangan kamu beramal dengan amalan ahli syurga sehingga seolah-olah antara dia dan syurga itu cuma sejengkal namun apabila sudah tertulis bahawa dia di kalangan ahli neraka maka nescaya dia selepas itu akan beramal dengan amalan ahli neraka lalu masuk ke dalamnya dan tidaklah seorang itu melainkan beramal dengan amalan ahli neraka sehingga antara dirinya dengan neraka cuma sejengkal namun apabila sudah tertulis dirinya sebagai ahli syurga maka dia kemudiannya akan beramal dengan amalan ahli syurga lalu masuk ke dalamnya” (hadith sahih isnad melalui pensyaratan syaikhan diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dan Ahmad ).
Maha suci Allah hanya kepada-Nya kita kembali dan memohon perlindungan dari takdir yang buruk dan pengakhiran yang tidak baik.
Sesungguhnya hendaklah kita berasa bimbang dan takut bahawa kita tidak termasuk di kalangan yang terpilih untuk mendapat hidayah dan kebaikan dengan berusaha meminta dan memohon kepada Allah swt tanpa henti dan tangguh supaya termasuk di kalangan yang mendapat hidayah dan takdir yang baik.
Berikut ialah perkara yang perlu dilakukan :
1) Memperbanyakkan doa dan amalan soleh serta meninggalkan maksiat juga melaksanakan apa yang diperintahkan.
“Dan berkatalah tuhan-Mu, berdoalah (mintalah) kepada Aku nescaya aku akan tunaikan (makbulkan) bagi kamu (akan permintaan kamu)” (Surah Ghafir :60).
Dari Sauban ra berkata bahawa telah bersabda rasulullah : "Tidaklah ada sesuatu pun yang dapat menolak takdir melainkan doa” (hadith Sahih riwayat Ibn hibban dalam sahihnya disepakati oleh adz-dzahabi).
“Dan berkatalah tuhan-Mu, berdoalah (mintalah) kepada Aku nescaya aku akan tunaikan (makbulkan) bagi kamu (akan permintaan kamu)” (Surah Ghafir :60).
Memperbanyakkan amalan Soleh seperti sedekah
Dari riwayat Anas bin Malik ra bahawa rasulullah salallahaulaihiwasalam bersabda : " Sesungguhnya sedekah itu dapat menyekat kemurkaan Al-Rabb (Allah)" (Hadith Hasan, riwayat Tirmidzi no. 664).
2) Bersabar serta bersangka baik kepada Allah swt dan mengharap rahmat-Nya serta tidak berputus asa di atas segala derita yang menimpa dan takut serta harap kepada rahmat dan kasih sayang-Nya.
Sabda baginda salallahualaihiwasalam “ Janganlah kamu mati melainkan berada dalam keadaan husnul zon dengan Allah swt” (hadith Sahih riwayat Muslim, Ahmad dan Baihaqi).
Ini disebut dalam hadith yang diriwayatkan oleh Syuhaib ra yang meriwayatkan baginda bersabda :
“ Sungguh menakjubkan perihal orang mukmin kerana semua perkara yang menimpanya ialah kebaikan dan tidaklah berlaku perkara ini melainkan hanya kepada orang yang beriman. Apabila dia diberi nikmat lalu disyukurinya maka menjadilah nikmat itu sebagai kebaikan baginya. Sebaliknya apabila dia diuji dengan musibah maka dia bersabar lalu menjadikan pula musibah itu sebagai kebaikan baginya” (Hadith sahih riwayat Muslim no. 2999).
“ Dan bersabarlah serta tempatkan dirimu bersama orang-orang yang sering berdoa kepada tuhan mereka” (Al-Kahfi : 28).
“ Dan memintalah kamu akan pertolongan Allah dengan sabar dan solat kerana sesungguhnya yang demikian itu sangatlah berat melainkan bagi mereka yang khusyuk” (Al-Baqarah : 45).
3) Bertawakal kepada Allah swt selepas berusaha melakukan sesuatu amalan dengan sebaik-baiknya menurut pertunjuk Allah dan rasul dan bersangka baik serta menyerah kepada takdir Allah swt dengan penuh keredhaan dan lapang hati serta yakin.
Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi ra dalam sunannya akan hadith dari Ibn Abbas, Abdullah ibn Abbas ra yang berkata : “Sesungguhnya aku berada di belakang nabi salallahualaihiwasalam pada suatu hari dan baginda lalu bersabda :
“Wahai pemuda sesungguhnya aku akan mengajarkan kamu beberapa kalimah (pesanan) iaitu :
Peliharalah Allah (pelihara hak-Nya) maka nescaya Allah akan memelihara kamu, Peliharalah Allah (taati perintah-Nya dan jauhi larangan-Nya) maka nescaya engkau akan mendapati Dia (Allah) akan membantu engkau,
jika kamu hendak meminta sesuatu maka mintalah kepada Allah dan jika kamu hendak memohon perlindungan dari sesuatu maka mohonlah perlindungan dari Allah.
Ketahuilah jika umat seluruhnya berkumpul untuk memberi manfaat kepada engkau dengan sesuatu maka tidaklah mereka dapat memberi manfaat kepada engkau melainkan dengan apa yang telah Allah tetapkan kepada engkau dan
jika seluruh umat berkumpul untuk memudharatkan engkau dengan sesuatu maka tidaklah memberi mudharat mereka itu melainkan dengan apa yang telah Allah tetapkan buat engkau.
Telah terangkat qalam-qalam dan telah kering dakwat (satu perumpamaan yakni telah selesai urusan penyampaian pesanan)” (Hadith sahih riwayat Tirmidzi no. 2516).
Bahkan turut disebut dalam Hadith yang lain riwayat Anas bin Malik bahawa baginda sentiasa membaca doa “ Dengan nama Allah aku bertawakkal hanya kepada Allah” (Hadith Sahih, riwayat Tirmidzi no.2724 ).
“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya” (Surah Ali-Imran : 159).
Segala puji hanyalah bagi Allah swt
Rujukan :
i) Tafsir Al-Qur’an
ii) Kitabul Sunnah oleh Ibn Abi Asim (wafat 287 Hijrah)
Qoute :
Sesungguhnya tulisan ini ditulis sebagai meringankan beban batin yang menekan bagi sesiapa yang diuji dalam kehidupan moga beroleh penyelesaian dan pemahaman.
Oleh : Ustaz Emran
- Posted using BlogPress from my iPhone
Subscribe to:
Posts (Atom)